KEKUATAN JATIDIRI MELALUI PROGRAM : ‘SATU KAWASAN SATU PERGURUAN’

Dalam era globalisasi yang banyak cabaran dan dugaan, peranan golongan pemuda amatlah penting agar menjadi baka Negara yang berguna dan mampu memimpin serta melaksanakan agenda Negara. Justeru itu kekuatan jatidiri wajar dipupuk sejak kecil lagi dengan mempelajari sejarah silam sebagai panduan dan iktibar memperkasakan jatidiri agama, bangsa dan tanahair.

Pada hari ini, banyak isu yang kita sering terdengar dengan melibatkan pemuda atau remaja terjebak dengan lumba haram, kes dadah, rogol, melacur, vandalisme, gangster, lepak, berdisko dan beberapa perkara negatif yang lain. Perkara-perkara tersebut ada hubungkaitnya dengan kelemahan jatidiri yang ada pada diri anak-anak muda kita pada hari ini. Kebiasaanya juga ianya berlaku atas sebab tiada pengisian aktiviti budaya yang serius di peringkat kampung masing-masing yang pernah diamalkan oleh masyarakat kampung terdahulu seperti mengaji, berzanji, maulud, marhaban, nazam bersilat dan sebagainya.

Sungguhpun pada hari ini kita lihat ramai golongan muda berjaya melanjutkan pelajarannya di institut pengajian tinggi, namun tidak semua yang mempunyai kekuatan jatidiri yang betul. Dari aspek ini suka saya menekankan bahawa pemuda kita pada hari ini tidak disibukkan dengan aktiviti budaya Melayu asli yang harus dipelajari dan ditanam dalam diri masing-masing. Apa yang saya ingin tekankan di sini ialah tentang budaya ‘ilmu persilatan’.

Secara silamnya betapa hebatnya Melaka pada ketika dahulu dengan kemegahan ekonomi, politik dan kekuatan rakyatnya yang sukar dikalahkan oleh kuasa-kuasa luar pada ketika dahulu. Antara rahsianya di sini adalah amalan ‘ilmu persilatan’. Ilmu persilatan yang bukan sahaja kita belajar untuk ketahanan badan dan kesihatan sahaja ianya juga memupuk amalan kebatinan dalam diri. Kebatinan yang berlandaskan pegangan agama mampu memperkasakan jatidiri seseorang yang mempelajarinya.
Peranan ‘ilmu persilatan’, sebenarnya mengajar diri kita untuk hidup mencari peluang dan berfikir untuk menempuh cabaran hidup dengan menggunakan kebijaksanaan akal.

Belajar ‘ilmu persilatan’ juga membentuk disiplin diri serta menjamin diri kita selamat di dunia, selamat di akhirat melalui amalan pantang larang yang selari dengan kehendak Islam agar dapat membentuk nilai akhlak yang tinggi dan berbudi pekerti luhur. Faedah yang terpenting dari mempelajari ‘ilmu persilatan’ adalah memupuk semangat perpaduan dikalangan masyarakat kita khususnya anak-anak muda. Ilmu persilatan sebenarnya amat unik kerana melibatkan gabungan seni, sukan, dan pegangan agama.

Ilmu persilatan telah menjadi sinonim dengan amalan kebatinan, manakala kebatinan juga sinonim dengan amalan agama yang betul dan ini menjadi budaya masyarakat Melayu lama. Seharusnya Melaka menjadi negeri mengembangkan ‘ilmu persilatan’dan pemudanya harus disibukkan dengan aktiviti seperti ini dengan cara melaksanakan program ‘satu kawasan satu perguruan’. Kita wajar memandang secara positif dan tidak dapat dinafikan ada beberapa perguruan persilatan yang terpesong dengan akidah Islam dan ini wajib dijauhi.

Pihak kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Kebudayaan Kesenian dan Warisan Melaka dan Jawatankuasa Sukan wajar memberi galakkan dan memantau aktiviti ini dengan rapi bagi mengelakkan perkara yang negatif berlaku. Selain itu kerajaan negeri juga hendaklah mengenalpasti guru-guru yang mengajar itu mempunyai kelayakkan yang cukup untuk disahkan. Pengajaran ‘ilmu persilatan’ini juga hendaklah bersistem bagi menarik minat anak-anak muda untuk mempelajarinya.Guru-guru yang mengajar pula, hendaklah juga berperanan mengawal anak didiknya serta memberi nasihat dan tunjuk ajar yang baik. Perkara ini amatlah penting kerana dikhuatiri anak didiknya menyalahgunakan pelajaran yang diamalkannya.

Di bawah penyelarasan ini, saya yakin pengisian program ‘satu kawasan satu perguruan’ akan memperkasakan jatidiri dan meghindari budaya-budaya yang tidak sihat dikalangan anak-anak muda Melayu kita khususnya di negeri Melaka. Cadangan yang saya bawa juga merupakan cetusan idea dari kata keramat Hang Tuah ‘Takkan Melayu Hilang Di dunia’. Pesanan keramat ini secara logiknya kita memandang dari presepsi diri Hang Tuah sendiri yang membawa kejayaan ke arah kegemilangan Melaka dan kejayaan jatidirinya, hasil kebijaksanaan dari amalan ilmunya.

Mohd Imran Nul Hakim
( Artikel ini pernah diterbitkan dalam Akhbar Melaka Hari Ini)

Baca Selanjutnya...

LUBUK EMAS DALAM MODAL INSAN

Dalam usaha kerajaan yang menekan pembangunan sumber manusia yang berteraskan kepada Sains dan Teknologi, melalui modal insan amatlah wajar disokong oleh semua pihak. Usaha tersebut adalah satu pelaburan yang menguntungkan pada masa akan datang. Keprihatinan kerajaan dalam bidang pendidikan dan latihan di peringkat sekolah, Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta dan beberapa institut teknikal menjadi suntikkan kepada pembangunan dan kemajuan negara yang akan menghadapi wawasan 2020 yang mampu bersaing diperingkat global. Sememangnya peruntukan yang disediakan 5 bilion ringgit untuk membangunkan modal insan menjadi semangat dan galakkan bagi menyahut pendidikan sepanjang hayat. Usaha ini, sudah tentulah memberi impak yang positif dalam jangka masa yang panjang.

Selain itu juga kerajaan telah menyediakan kemudahan untuk pelajar kurang upaya dan para pelajar yang belajar di institusi luar negara dengan memberi pelepasan cukai sebanyak 4 ribu ringgit. Di tambahkan lagi pihak kerajaan berusaha untuk mengatasi masalah pengganguran dengan menyediakan kemudahan Skim Usahawan Muda, menambah pengambilan pelatih dan memperkenalkan kursus baru di setiap Pusat Latihan Kemahiran Negeri, program PROSPER siswazah dengan bantuan 50 ribu kepada 200 graduan terpilih, untuk memulakan perniagaan dan memberi pelepasan cukai sebanyak 2 kali bagi tempoh 3 tahun untuk syarikat swasta yang dipilih oleh kerajaan bagi menggalakkan pengambilan graduan yang menganggur. Kemudahan-kemudahan yang telah diberi diharapkan jangan disalahguna khususnya golongan pelajar kerana ini adalah satu peluang keemasan yang harus dinikmati oleh setiap pelajar dan semua pihak. Menggunakan kemudahan tersebut sepenuhnya dapat menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi negara berasaskan ilmu.

Betapa kerajaan mengiktiraf profesion perguruan dengan menaik taraf maktab perguruan menjadi Institut Pendidikan Guru bagi memantapkan lagi pemilihan bakal guru dan kesesuaian persekitaran kerja. Langkah yang dibuat juga sebagai usaha sasaran kerajaan menjelang tahun 2010, sebanyak 100 peratus guru siswazah diperingkat sekolah menegah dan 50 peratus guru siswazah diperingkat rendah. Ini jelas menunjukkan kerajaan telah memberi penekanan penting terhadap golongan pendidik yang akan membimbing produk- produk (pelajar-pelajar) untuk melahirkan modal insan yang berkualiti dalam negara.

Bagi pandangan saya, modal insan yang akan dilahirkan, bukan saja dipenuhi dengan ilmu-ilmu duniawi (Hadhari) malah ilmu-ilmu ukhrawi (Syarie) yang seimbang dengan arus kemajuan negara. Saya percaya dengan penerapan Islam Hadhari, telah banyak membuka mata dikalangan masyarakat khususnya golongan mahasiswa dan siswi untuk terus mengiatkan lagi usaha membantu kerajaan dalam Research and Development seperti cendikiawan zaman para Khalifah Ar-Rasyidin yang telah membantu ke arah kepesatan ilmu khususnya dalam Sains dan Teknologi Islam, sehingga mengelapkan
tamadun barat pada ketika itu.

Justeru itu, negara perlu menguasai dan memiliki segala cabang ilmu sebagai persediaan ke arah kekuatan kedaulatan negara. Kita janganlah menjadi kuli di negara sendiri, kita harus menjadi tauke di tanah air kita sendiri. Bukan setakat itu saja, negara luar juga harus segan pada kita kerana kita menguasai dan memiliki setiap cabang ilmu dan nilai akhlak yang tinggi mengikut acuan kita sendiri.

Oleh yang demikian peranan kita untuk mengembeling tenaga bagi memastikan penekanan kerajaan terhadap pembangunan modal insan dapat dicapai. Seperti kata YAB.Perdana Menteri kita, “Berkerjalah Bersama-sama Saya , Bukan Berkerja Untuk Saya”. Untuk tempoh 14 tahun akan datang, di atas kejayaan kita, ketika itu seharusnya kita menoleh kebelakang untuk mengingati semula, fungsi kerajaan membangunkan modal insan. Pada ketika itu juga, kita akan berkata. “Tanpa lubuk emas (modal insan) aku tak kan jadi manusia yang bermanfaat, aku bersyukur padaMU, ya Allah diperintah oleh kerajaan yang prihatin”.

MOHD IMRAN NUL HAKIM BIN DERASIP
EXCO PENERANGAN DAN ISU SEMASA
MAJLIS PERWAKILAN MAHASISWA
UNIVERSITI MALAYA 2005/2006

Baca Selanjutnya...

Good Governance

Pengurusan bandar merupakan aspek yang amat penting untuk pembangunan ekonomi, politik dan sosial masyarakat. Perkara tersebut dapat dijalankan melalui peranan kerajaan pusat, negeri dan tempatan. Pada masa yang sama, peranan ini dibentuk hasil daripada kerjasama kerajaan, swasta dan NGO bagi memastikan pembangunan dalam sektor ekonomi, politik dan sosial masyarakat terjamin.

Bandar yang maju tidak hanya fokus ke arah pembangunan ekonomi semata-mata, malah faktor urus tadbir yang baik menjadi penyumbang ke arah kemajuan pembangunan yang lancar dalam sesebuah negera dan menjadi pusat tumpuan sosial masyarakat.

Untuk mewujudkan urus tadbir yang baik beberapa kaedah digunakan iaitu penglibatan semua, Bertanggungjawab, berterus terang, Cekap, kesaksamaan, Efektif & Efisyen, dan sistem yang mengikut peraturan. Sebagai contoh Malaysia telah memperkenalkan rancangan Malaysia ke- 9 yang mengariskan beberapa kaedah bagi mewujudkan urus tadbir yang baik, iaitu pelan intergriti nasional yang menjurus kepada 5 perkara yakni anti rasuah, meningkatkan keupayaan sistem penyampaian maklumat, corporate governance & business ethic, institusi kekeluargaan dan kualiti hidup.

Rancangan Malaysia ke -9 merupakan dasar kerajaan pusat agar dapat berperanan mengubah sistem pengurusan supaya urus tadbir kerajaan akan dapat berjalan dengan baik dan diyakini oleh rakyat.Oleh itu kita dapat melihat bukan sahaja pembangunan ekonomi dititiberatkan tetapi melalui proses urus tadbir yang baik sebenarnya mampu untuk membangunkan sesebuah Bandar dan menjadi tumpuan untuk bersosial.


Ini adalah kerana urus tadbir yang terancang akan memberi impak yang positif dalam perkembangan beberapa sektor untuk pertumbuhan ekonomi seperti perindustrian, telekomunikasi, pusat membeli belah, pendidikan, kesihatan, perniagaan, pusat pentadbiran dan pengangkutan. Ini merupakan kemudahan yang penting dalam membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi bandar dan membantu meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Contoh yang terdekat yang dapat kita lihat adalah bandaraya Kuala Lumpur yang mempunyai kelengkapan dan kepelbagaian sistem kemudahan yang canggih yang diwujudkan oleh pihak kerajaan tempatan bagi memberi tumpuan sosial masyarakat untuk memenuhi kehendak dan keperluan mereka.

Secara tidak langsung apabila peningkatan kemudahan berlaku, maka kita akan dapati bahawa kemasukan atau migrasi penduduk akan bertambah kerana adanya peluang kerjaya bagi mereka dan kemudahan yang selesa dan kualiti, melalui peranan dasar kerajaan pusat yang diuruskan oleh kerajaan negeri dan dilaksanakan oleh kerajaan tempatan.

Jika kita lihat peluang kerjaya adalah salah satu bentuk yang boleh mewujudkan budaya dan gaya hidup masyarakat yang pelbagai. Apabila pembangunan dalam sesebuah bandar yang dilaksanakan oleh kerajaan tempatan dengan pemaju projek, maka akan berlakunya asimilasi budaya . Pendapatan penduduk akan meningkat dan ini dapat mengubah gaya hidup mereka. Secara tidak langsung ianya dapat membantu dalam perkembangan ekonomi sesebuah bandar.

Darisegi aspek kesihatan, peranan pihak kerajaan pusat bagi menjamin kehidupan sepanjang hayat melalui RMK-9 telah akan dijalankan dengan lebih proaktif hasil dari kerjasama pihak swasta dan NGO. Kerajaan telah memastikan perundangan kesihatan dan peralatan kemudahan perubatan seperti saringan diagnosis awal bagi menentukan penyakit.

Pertambahan Vaksin pencegahan bagi penyakit seperti influenza B, campak dan Rubella.Rancangan ini juga menyediakan peruntukkan untuk menambah hospital baru dan mengubahsuai serta menaik taraf hospital yang sedia ada. Peranan ini ditonjolkan agar dapat memberi manfaat kepada sesebuah bandar kea rah pertumbuhan ekonomi yang lebih mantap atas usaha urus tadbir kesihatan yang baik bagi melahirkan masyarakat yang mempunyai taraf hidup yang berkualiti dan mampu menyumbang memesatkan lagi pertumbuhan ekonomi bandar.

Pembangunan kesihatan yang baik akan membentuk kemasukkan dan tumpuan sosial masyarakat terhadap bandar yang mempunyai tahap kemampuan kemudahan kesihatan yang menyeluruh. Di Bandar Melaka terdapat Hospital Mahkota Medical Centre yang menjadi tumpuan warga Indonesia, Singapura dan tempatan menggunakan perkhidmatan tersebut. Pertumbuhan ekonomi negeri Melaka juga berdasarkan peranan pembangunan kesihatan dan urus tadbir yang baik.

Pembangunan pendidikan dalam sesebuah Bandar juga mempengaruhi faktor urus tadbir yang baik dan menjadi tempat tumpuan sosial. Ini dapat dilihat sekitar Bandar di Kuala Lumpur yang mempunyai 100 buah pusat pendidikan tinggi awam dan swasta. Peranan dasar kementerian pengajian Tinggi Malaysia yang ingin menaiktaraf universiti ke arah Universiti Perdana dan Antarbangsa dengan membawa masuk pelajar-pelajar asing dari Negara-negara luar seperti Yemen, Nageria, Pakistan, Iran, Iraq, China, Laos dan Jepun. Universiti Malaya yang terletak di pusat Bandar Kuala Lumpur telah menerima banyak warga asing ke arah meningkatkan lagi mutu pendidikan di peringkat antarabangsa. Melalui ini juga maka Kuala Lumpur akan menjadi tempat tumpuan sosial pelbagai masyarakat dan meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi kerana pelajar-pelajar yang melanjutkan pelajaran mereka ke sini merupakan pelabur.

Peranan pihak penguasa tempatan seperti DBKL melalui pertumbuhan ekonomi yang baik melalui “Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020, telah mengenalpasti bahawa pusat membeli belah mempunyai potensi yang baik ke arah pertumbuhan ekonomi dan sosial masyarakat memandangkan taraf hidup masyarakat yang semakin meningkat. DBKL telah memberi beberapa pembahagian kawasan membeli belah iaitu pusat membeli belah persint utama seperti KLCC,Berjaya Times Square, Pavilion, Mid Valley, Garden City dan Sungai Wang. Kawasan sub utama seperti Jalan Tunku Abdul Rahman, Chow Khit, Petaling Jaya dan Jalan Pasar. Pertumbuhan ini akan menjadi pusat pertumbuhan sosial tempatan dan antarabangsa yang berbentuk rekreasi dan hiburan serta peluang kerja yang luas.

Urus tadbir perbandaran yang baik, melalui peranan semua pihak seperti kerajaan, swasta dan NGO amatlah diperlukan bagi menggalakkan lagi pertumbuhan ekonomi dan sosial masyarakat agar sesebuah Bandar dapat membangun dengan pesat dari segi infrastruktur, pendidikan, kesihatan,dan pelancongan.

Good Governance & OKU

Darisegi sistem kemudahan pengangkutan awam sebenarnya dapat menjamin kelancaran aktiviti dalam sesebuah negara. Kenderaan awam juga merupakan nadi kepada pembangunan sesebuah negara itu. Sekiranya kita melihat negara-negara maju seperti Jepun dan Amerika Syarikat, kita dapat melihat betapa maju serta efisennya sistem pengangkutan awam mereka. Lihatlah juga betapa maju sistem pengangkutan awam kita pada hari ini berbanding sepuluh tahun yang lalu.

Kini di Malaysia terdapat Sistem Pengangkutan Ringan (LRT) serta Monorail yang banyak membantu dalam perkhidmatan pengangkutan awam kita hari ini. Namun bergitu, apalah ertinya semua kemajuan ini sekiranya tidak dapat dikongsi bersama dengan golongan yang tidak dapat menikmatinya.

Golongan yang dimaksudkan tidak lain tidak bukan ialah golongan orang kurang upaya (OKU). Mengikut Akta Orang Kurang Upaya 2007, “Orang Kurang Upaya” (OKU) bermaksud “ Mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat ”. Mengikut statistik yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat jumlah orang kurang upaya yang berdaftar telah meningkat sebanyak 12 peratus pada tahun 2007 (220,250 orang) berbanding 2006 (197,519 orang) .

Kumpulan OKU yang berkerusi roda merupakan kumpulan yang patut diutamakan dalam kemudahan pengangkutan awam. Mereka memerlukan satu mekanisma supaya dapat bergerak serta berhubung dengan dunia luar serta masyarakat umum. Bayangkan sekiranya mereka tidak mempunyai ahli keluarga yang sudi membawa mereka keluar, bolehkah mereka bergerak atau menikmati dunia ini. Bolehkah mereka menaiki LRT atau komuter kita yang serba canggih?

Bas kita yang berhawa dingin dengan kerusi selesa yang sedang gah berlegar di kota serta teksi samada yang biasa mahupun yang mewah? Sekiranya mereka menggunakan kemudahan pengangkutan awam, besar kemungkinan mereka tercedera dan mungkin dapat merbahayakan nyawa mereka ataupun mungkin juga mereka tidak dapat menggunakannya langsung disebabkan halangan daripada penggunaan kerusi roda.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa terdapat usaha daripada syarikat-syarikat yang menyediakan kemudahan pengangkutan awam bagi memastikan perkhidmatan mereka mesra OKU. Terdapat bas yang meletakkan tanda kerusi roda untuk menunjukkan bas mereka mesra OKU. Namun begitu pada hari ini kita dapat lihat yang ianya belum sempurna, tanda kerusi roda itu hanya sekadar hiasan.

Walau bagaimanapun, usaha dan niat murni syarikat-syarikat bas tersebut sepatutnya dicontohi, tetapi keberkesanannya perlulah dikaji semula. Adakah ianya disebabkan masyarakat kita atau pengusaha itu sendiri?

Walau bagaimanapun, usaha harus dilakukan langkah demi langkah. jika dilihat antara perkhidmatan kenderaan awam di negara kita dengan negara seperti Amerika Syarikat, masih terlalu banyak usaha yang harus ditingkatkan.

Jabatan Kebajikan Masyarakat sentiasa menggalakkan syarikat-syarikat pengangkutan supaya memberi tambang konsesi kepada orang kurang upaya. Sehingga kini terdapat beberapa buah syarikat pengangkutan telah memberi insentif pengangkutan kepada golongan kurang upaya.

Antaranya adalah Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) memberi tambang murah sehingga 50% bagi penerbangan dalam negeri, Keretapi Tanah Melayu (KTM) memberi tambang konsesi sehingga 50% bagi semua perjalanan bagi semua kelas, Syarikat bas Transnasional memberi konsesi 50% dari harga tambang dan Rapid KL memberi kemudahan tambang percuma kepada golongan kurang upaya.


Mengikut kajian yang telah dijalankan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, kenderaan awam yang amat diperlukan oleh OKU ialah kenderaan awam yang dapat menghantar mereka dari tempat asal ke destinasi sebagai contoh perkhidmatan teksi ini dapat membantu mereka bersosial serta bekerja. Pada tahun 2002 terdapat sebanyak 72,361buah teksi di Malaysia.

Malangnya kebanyakan teksi di negara kita bukanlah yang jenis mesra OKU. Kadang kala mereka tidak mahu mengambil penumpang OKU kerana pada mereka ianya menyusahkan namun bergitu terdapat juga segelintir pemandu teksi yang amat bermurah hati mengambil pelanggan yang berkerusi roda. Kadang kala kerana jenis teksi mereka gunakan sebagai contoh Proton Iswara menyebabkan mereka tidak mahu penumpang yang berkerusi roda kerana kapasiti bonet.

Jika di lihat sekarang pelbagai jenis serta bentuk teksi dapat kita lihat di jalan-jalan raya. Kereta-kereta mewah juga dijadikan teksi oleh sesetengah syarikat dengan mengenakan tambang yang tidak begitu tinggi berbanding teksi biasa, dengan alasan untuk kelesaan penumpang.

Malang sekali jika dibandingkan dengan jumlah wang yang dilaburkan untuk membeli kereta mewah sebagai teksi eksekutif adalah lebih wajar jika duit tersebut digunakan untuk membeli atau mengubahsuai teksi biasa kepada yang boleh dimasuki kerusi roda (wheelchair accessible taxi) seperti yang terdapat di negara United Kingdom dan Amerika . Keperihatinan dari pihak pengusaha syarikat teksi ini dapat membantu golongan OKU yang menggunakan kerusi roda.

Di samping itu terdapat sesetengah pemandu teksi yang merasakan golongan OKU ini adalah menyusahkan. Perkara ini mungkin berlaku kerana kurangnya sikap keperihatinan oleh pengusaha pengangkutan awam itu sendiri. Ini banyak bergantung kepada sikap pemandu itu yang merasakan penumpang yang berkerusi roda amat merumitkan sebagai contoh OKU yang berkerusi roda memang memerlukan orang lain untuk membantu mereka memasukkan kerusi roda ke bonet kereta selepas mereka memasuki kereta.

Namun begitu sesetengah, pemandu teksi merasakan golongan OKU tersebut hanya mendatangkan masalah kepada mereka. Ada juga merasakan penumpang kerusi roda menyusahkan dan melambatkan. Kebanyakan pemandu teksi mengejar masa. Bagi mereka lebih banyak masa yang mereka ada, lebih banyaklah penumpang yang dapat mereka ambil. Di Lembah Kelang khususnya, majoriti teksi menggunakan gas NGV sebagai bahan bakar kerana lebih murah berbanding petrol. Tangki atau balang gas tersebut dipasang di dalam bonet kereta, memandangkan saiz tangki tersebut agak besar maka tiada lagi ruang untuk memasukkan kerusi roda.

Dalam usaha untuk membantu golongan OKU ini, pihak pengusaha pengangkutan awam dan kerajaan hendaklah bersama-sama dalam usaha membantu golongan yang kurang bernasib baik ini. Disamping itu ia juga dapat menjadikan negara kita sebuah negara perihatin dan penyayang. Sehubungan itu, pihak pengusaha juga perlulah melihat bahawa perkhidmatan pengangkutan awam sebagai satu tanggungjawab sosial, bukan hanya menitikberatkan keuntungan semata-mata.

Sebagai ahli masyarakat pula kita perlulah memahami keperluan OKU. Adalah tidak wajar bagi kita memencilkan serta mengasingkan mereka kerana kekurangan yang ada pada mereka. Ada juga segelintir ahli masyarakat yang kurang bertanggungjawab dan terlalu mementingkan diri sendiri dengan menggunakan kemudahan yang disediakan untuk OKU sebagai contoh tempat letak kereta, tandas dan tempat duduk.

Sebagai contoh CEO syarikat AirAsia, iaitu Dato’Tony Fernandes, beliau meningkatkan perkhidmatan penerbangannya selepas mendapat bantahan daripada persatuan-persatuan OKU disebabkan perkhidmatan AirAsia yang tidak mesra OKU. Dalam masa yang amat singkat beliau meningkatkan perkhidmatan AirAsia kepada mesra OKU walaupun menelan belanja yang amat besar.

Sikap begini sepatutnya dijadikan contoh oleh kita semua. Ini menunjukan yang pandangan OKU diambil berat dan dihormati walaupun terdapat kekurangan pada diri mereka. Jadilah ahli masyarakat yang bertanggungjawab bantulah mereka yang kurang upaya. Bersamalah kita membangun masyarakat ke arah kesejahteraan sosial.


Sumber Rujukan

1. Tim Bunnell, Malaysia, Modernity and The Multimedia Supper Corridor: A Critical Geography Of Intelligent Landscape, Routledge Curzon Taylor & Francis Group,New York, 2006.
2. Kenneth G.Willis, R.Kerry Turner & Ian J. Bateman, Urban Planning and Management, Edward Publishing, Inc.UK, 2001.
3. Dani Salleh & Abdul Rahman Aziz, Asas Kefahaman Pengurusan Pembangunan, Universiti Utara Malaysia Sintok, 2003.
4. John Diamond, Joyce Liddle, Alan Southern and Alan Townsend, Managing The City, Routledge Curzon Taylor & Francis Group, New York, 2007.
5. Prof.Dato Dr. Abdu Rahman Embong. (2007).Is The Ideal Of Good Governance Achievable?. Kuala Lumpur. Universiti Malaya.
6. Laman Web: http://www.Jabatan Kebajikan Masyarakat.Com. 27 September 2008.
7. Laman Web: http://www.Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia. 27 September 2008.
8. Laman Web : http://www.Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.1 Oktober 2008.

Oleh : Mohd Imran Nul Hakim Derasip & Adzni Ahmad Fekry

Baca Selanjutnya...

( TEORI MOTIVASI UNTUK PEKERJA) Oleh: Mohd Imran Nul Hakim Derasip

Motivasi merupakan usaha yang dilakukan bagi menentukan objektif yang diingini tercapai. Ianya juga boleh dikatakan sebagai pendorong bagi menguatkan semangat gerak kerja yang dilakukan dalam sesebuah organisasi. Pekerja ialah seorang yang mampu memberi sumbangan darisegi masa dan tenaga serta mampu menerima elemen-elemen motivasi seperti usaha, matlamat, organisasi dan keperluan.

Di dalam sesebuah organisasi pengurus akan berhadapan dengan situasi tentang masalah pekerja. Masalah motivasi dikalangan pekerja akan menyebabkan prestasi organisasi tergugat. Oleh itu sebagai seorang pengurus organisasi haruslah bijak mengenalpasti masalah motivasi dikalangan pekerja dan bijak menangani masalah tersebut berdasarkan beberapa kaedah teori yang telah diperkenalkan.

Teori motivasi dapat dihubungkan melalui beberapa peringkat iaitu pendekatan teori motivasi tradisional yang dipelopori oleh Fredrick Taylor, teori motivasi hubungan manusia yang dipelopori oleh David Maclelland dan Elton Mayo, teori motivasi sumber manusia yang dipelopori oleh Herzbeg, J.Stacy Adam, Skinner dan seterusnya teori motivasi pendekatan kontemporari.

Pelopor teori yang lain seperti Abraham Maslow, Victor Vroom dan Clayton Alderfer. Mereka ini telah memperkenalkan pendekatan teori motivasi organisasi bagi mencapai kepuasan matlamat yang ingin dicapai.



Merujuk kepada pendekatan teori motivasi yang dipelopori oleh Fedrick Taylor yang menekankan faktor imbuhan atau ganjaran yang berupa pembayaran gaji kepada individu bagi menggalakkan prestasi kerja yang cemerlang.

Justeru itu melalui teori tersebut, kita dapat mengetahui masalah motivasi yang dihadapi oleh pekerja berdasarkan prestasi gerak kerja yang tidak mempunyai mutu atau kualiti samada berbentuk produk atau aktiviti yang dikehendaki oleh organisasi bagi mencapai sasaran matlamat.

Sebagai contohnya pekerja yang sering kali merasakan ketidakpuasan hati akan menjalankan gerak kerja dengan emosi yang negatif seperti bersikap malas, tidak berdisplin, tidak perihatin dan peka dalam sesuatu hal yang terjadi dalam organisasi. Sekiranya masalah ini timbul sudah tentulah keadaan prestasi kerja secara personal akan terganggu sehingga boleh menyebabkan prestasi organisasi akan bermasalah.

Sebagai seorang pengurus kita harus menilai semula ganjaran gaji yang diberikan kepada semua pekerja dalam organisasi. Pekerja akan menunjukkan faktor prestasi yang lemah dengan menimbulkan ketidakpuasaan untuk bekerja atas alasan imbuhan tidak dijamin.

Bagi pendekatan teori hubungan manusia pula yang dipelopori oleh Elton Mayo faktor hubungan antara manusia yang sering memberi kerjasama antara satu sama yang lain merupakan penyumbang ke arah produktiviti organisasi. Selain itu juga nilai penghargaan terhadap individu hendaklah diberikan bagi mewujudkan motivasi yang unggul, kerana setiap pekerja wajar merasakan mereka perlu dihargai.


Kebiasaanya masalah motivasi pekerja dalam golongan teori ini akan dikenalpasti melalui nilai hubungan antara kumpulan pekerja dan kemudahan yang diterima. Sekiranya suasana bekerja mempunyai pengaruh individualistik maka sebagai seorang pengurus, kita telah mengenalpasti perkara tersebut merupakan masalah motivasi di kalangan pekerja.

Berdasarkan kepada teori Abraham Maslow setiap individu yang bekerja di dalam sesebuah organisasi akan menuntut 5 keperluan bagi tujuan kepuasan diri seperti yang pertama keperluan fisiologi seperti air, oksigen, makanan dan kesihatan diri. Kedua, keperluan keselamatan, iaitu pekerja memerlukan kebebesan bekerja dan jaminan keselamatan. Ketiga keperluan kemesraan dan kekitaan. Keempat, keperluan penghargaan diri dan yang terakhir adalah keperluan pencapaian hasrat diri. Kita melihat keperluan-keperluan ini merupakan asas kepada kehendak manusia agar merasakan kepuasan dalam melakukan sebarang aktiviti khususnya bekerja.

Selain itu juga ketidakpuasan diri berdasarkan teori keperluan boleh mengakibatkan fokus ke arah matlamat tidak dapat dijalankan dengan sempurna. Akibatnya, sebarang maklumat organisasi tidak dapat disampaikan dengan begitu berkesan kerana tuntutan kepuasan mereka tidak dipenuhi. Bukan itu sahaja pekerja akan sentiasa bertindak sambil lewa dan sentiasa berputus asa kerana kurang mempercayai organisasi. Kesannya, sesebuah organisasi tersebut akan mengalami kemerosotan produktiviti sehinggakan boleh membawa kerugiaan

Masalah pekerja juga boleh dikenalpasti melalui faktor kesihatan yang mana pekerja yang mempunyai masalah dari segi faktor kesihatan kebiasaanya akan tidak berpuas hati untuk bekerja. Teori Herzberg telah menjelaskan bahawa faktor kesihatan memainkan peranan penting untuk memastikan nilai produktiviti matlamat organisasi tercapai.

Sebagai contohnya, sekiranya pekerja hanya sentiasa dikawal dan dikenakan peraturan tertentu dalam organisasi tanpa mempunyai ganjaran yang setimpal serta kemudahan yang selesa, masalah motivasi diri pekerja akan timbul. Masalah perhubungan antara pekerja juga boleh diklasifikasikan dalam faktor kesihatan.

Faktor keselamatan juga memainkan peranan yang penting untuk mewujudkan tahap kepuasan pekerja dalam organisasi. Pekerja akan mengalami tekanan dengan suasana kerja dan memerlukan keselesaan serta jaminan keselamatan yang tinggi. Pekerja yang sering merasa keselamatan diri tidak dilindungi akan menyebabkan motivasi diri mereka akan berkurangan sehingga mengganggu tahap pemikiran dan tekanan emosi untuk bekerja.

Selain itu juga penjelasan berkaitan dengan ganjaran dapat dilihat merujuk kepada bentuk intrinsik dan ekstrinsik. Intrinsik bermaksud tahap kepuasan yang lahir dalam diri secara rela ke arah kemuncak untuk mencapai matlamat kerja atau aktiviti tanpa mengharapkan sebarang ganjaran berbentuk wang ringgit dan kebendaan atas sebab nilai tanggungjawab.

Ganjaran ekstrinsik pula merupakan ganjaran yang untuk mendapatkan kepentingan berbentuk wang ringgit dan kebendaan daripada orang lain apabila selesai melakukan sebarang kerja dan aktiviti. Merujuk kepada 2 bentuk ganjaran ini kebiasaannya pekerja akan memilih ke arah ganjaran ekstrinsik kerana mendapat keuntungan dan kepuasan untuk lebih bekerja secara bermotivasi.

David Mcclelland telah mengariskan tiga teori keperluan untuk mendorong individu untuk mencapai sasaran kejayaan dan kepuasan diri iaitu keperluan pencapaian, keperluan kuasa dan keperluan berhubung. Bagi pekerja yang mempunyai masalah motivasi mereka tidak akan berusaha untuk memperbaiki diri dengan merujuk kepada tiga teori keperluan tersebut secara positif.

Pekerja seperti ini sering menyisihkan diri dan tidak menonjolkan diri dalam organisasi. Ini boleh diklasifikasikan sebagai pekerja yang pasif. Perkara ini mungkin akan memberi implikasi terhadap kelicinan gerak kerja, memandangkan kepentingan bekerja secara berkumpulan itu penting agar dapat melahirkan idea yang baru dan kreatif dalam organisasi.

Dalam teori McGreggor telah memperkenalkan teori “X & Y. Teori X & Y sebenarnya membuka ruang untuk menyelesaikan masalah motivasi pekerja setelah masalah-masalah tersebut dikenalpasti oleh pengurus organisasi seperti, pekerja sering memberontak, sabotaj , sikap malas bekerja, kurangnya dedikasi dan kurang cekap untuk menjalankan tugas bekerja.

Teori X menyatakan bahawa setiap masalah yang berlaku dalam organisasi berpunca daripada sifat tabii manusia yang sememangnya telah dibentuk sejak dari awal lagi. Justeru itu fungsi teori X adalah untuk mengawal masalah yang timbul.

Manakala teori Y yang dibentuk berdasarkan pengaruh teori Maslow menyatakan bahawa sebarang masalah yang timbul dikalangan pekerja berpunca daripada pengurusan dalam sesebuah organisasi yang tidak menyediakan suasana yang kondusif untuk bekerja.Teori Y meletakkan nilai tanggungjawab seseorang pekerja dan memberi pilihan kepada pekerja untuk mencapai tahap kepuasan diri mereka tanpa dibentuk melalui arahan.

Teori X & Y mempunyai 2 bentuk penentuan masalah motivasi yang timbul dikalangan pekerja iaitu personaliti pekerja dan pihak pengurusan. Perkara ini disentuh berdasarkan pemikiran Agyris.


Personaliti pekerja dapat dilihat berkaitan dengan psikologi manusia yang berkehendakkan persekitaran yang selesa untuk menjamin kesihatan mental dan ingin berada peringkat tertinggi dalam organisasi sekiranya telah lama berkhidmat.

Pekerja akan merasa tidak dihargai dan terancam, jika sesebuah organisasi tidak mengambil berat dan memberi peluang untuk kenaikan pangkat. Faktor seperti ini sebagai penyumbang terhadap masalah dari pihak pengurusan organisasi. Justeru itu perkara seperti ini, kita dapat mengenalpasti apabila timbulnya masalah perletakkan jawatan dan seterusnya pekerja tersebut akan mencari tugas yang lain yang lebih selesa dan selamat. Ini menunjukkan kegagalan bagi sesebuah organisasi kerana tidak menjaga hubungan baik antara pekerja.

Apabila kita menyentuh soal hubungan baik antara pengurus dan pekerja dalam sesebuah organisasi, J.Stacy Adams telah mencetuskan teori ekuiti iaitu layanan yang diperlukan oleh pekerja darisegi hak sama rata dalam pembahagian gerak kerja, ganjaran dan kemudahan asas.

Antara faktor pekerja bermasalah dalam motivasi ini adalah kerana hak sama rata yang diberikan majikan kepada mereka tidak dapat dipenuhi. Maka kita akan kenalpasti bahawa jika sesuatu pembahagian kerja itu dilakukan, pekerja akan bersikap mula berkira dalam melakukan tugas darisegi masa bekerja dan kerahan tenaga bekerja. Pekerja seperti ini hanya akan menjalankan kerja berdasarkan sasaran diri bukan sasaran organisasi.

Disamping itu juga Victor Vroom dalam teorinya iaitu teori jangkaan telah menyatakan bahawa hasil kelakuan pekerja di dalam sesebuah organisasi adalah merujuk kepada mata ganjaran yang diberikan sekirannya pekerja tersebut menunjukkan prestasi kerja yang baik, maka ganjaran yang setimpal dengan kelakuan kerjanya akan diberikan.
Sekirannya terdapat pekerja yang melakukan kelakuan yang sebaliknya, kita dapat ketahui bahawa pekerja tersebut mempunyai masalah motivasi seperti tiada daya usaha dan tiada jangkaan matlamat yang ingin dicapai untuk kenaikkan ganjaran.

Kesimpulannya setiap pekerja sememangnya menginginkan kepuasan bagi mencapai tujuan dan matlamat yang dirancang untuk merealisasikan impian hidup. Oleh itu, bagi menentukan kejayaan untuk mencapai matlamat tersebut, nilai motivasi diri dan organisasi amatlah penting agar berupaya memberi pengukuhan diri dan organisasi.

Sekiranya kesedaran berkaitan dengan motivasi ini kurang, maka akan berlakunya kelembapan dalam menjana produktiviti organisasi dan produktiviti diri. Namun begitu kita tidak akan dapat mengelak dari beberapa masalah yang timbul. Walaubagaimanapun kita hendaklah mengenalpasti terlebih dahulu masalah yang dihadapi dan cuba menyelesaikannya mengikut kesedaran motivasi pada diri berdasarkan pengalaman yang ditempuhi dalam organisasi.


SUMBER RUJUKAN

1. Nigel Nicholson & Toby D.Wal, The Theory and Practice Of Organizational Psychology, New York: Academic Press Inc.(London) Ltd, 1982.
2. Jay M.Shafritz, J.Steven Ott & Yong Suk Jang, Classics Of Organization Theory. USA: Inc Thomson Learning, 2005.
3. Abdul Shukor Abdullah, Pengurusan Organisasi : Perspektif Pemikiran Dan Teori, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2004.
4. Sabri Hj Husin, Raida Abu Bakar, Mohd Radzuan B. Rahid & Ruhana Busu, Pengurusan,Thomson Learning Asia Pte Ltd, Malaysia, 2004.
5. David A. Whetten & Kim S. Cameron, Developing Management Skills, Pearson Education, Inc.,Upper Saddle River, New Jersey, 2007.
6. Gary Dessler, Leading People And Organizations In The 21st Century,Prentice Hall, Inc., Upper Saddle River, New Jersey, 2001.

Baca Selanjutnya...

ANGIN ARASY TURUN KE BUMI

Allah beri 7 sifat
Supaya kita beringat-ingat
Inilah Ramadhan bulan berkat
Amalan jangan di sukat-sukat
Mati kita bertambah dekat

Mencari malam seribu bulan
Tak henti-henti baca Al-Quran
Solat malam mohon permintaan
Moga cukup membawa bekalan

Solat terawih, solat witir
Gerak kalimat hembus zikir
7 malam terakhir ada qunut
Terlerai terbuka 20 sifat

Doalah masuk syurga
Doalah hindarkan neraka
Doa kita sama-sama
Tolak bala……

Bulan mulia bulan Ramadhan
Elok jaga tubuh badan
Elak prasangka yang bukan-bukan
Tutur kata biarlah sopan
Bergaul jangan sebarangan
Hati biarlah bersih dan aman
Semua kerja akan ringan

Angin arasy turun ke bumi
Membawa khabar bulan ini
Ikat nafsu dalam diri
Baru kita mengenal diri
Ada dalam diri untuk berdiri
Ada DIA, Ada kita, Ada Semua, Ada kanan,Ada kiri.
Hidup bukannya bersendiri
Jangan tak reti-reti
Amal jangan berhenti.

Mohd Imran Nul Hakim Derasip
Universiti Malaya
24 September 2008/11.55 a.m

Baca Selanjutnya...

ALAM SEMALAM KELAM TERPENDAM

Panggung semar menutup tirai
Ada jalan yang terbuka
Susuk tegap menyusur membelah angin
Meninggalkan mimbar emas
Ada isi Sang saka guru-guru
Segenap ilmu memayungi tubuh

Tatkala keris menghunus
Cahaya azimat menyelubungi
Pancaran hikmat mentera hikmah
Melingkari dipenjuru sendi

Berbicara Sang saka guru-guru
Kepada yang hasad
Bolekah kau menongkat langit?.
Berbicara Sang saka guru-guru
Kepada pemfitnah
Sanggupkah kau menahan sesahan mungkar nangkir?.
Berbicara Sang saka guru-guru
Kepada yang pembohong
Mulut kau busuk kerna daging hitam dalam perutmu.
Berbicara Sang saka guru-guru
Kepada yang munafik
Tebal kulit wajah mu menahan bara neraka?.

Berpencak Sang saka guru-guru dalam gelanggang malam
Gelanggang pasir bewarna hitam
Bertukar-tukar warna mengikut langkah
Melompat ke luar menjadi putih berdebu wangi
Hanya ditinggalkan setanjak bersama bengkung
Dibawa bersama keris waris
Selempang merah atas bahu
Akar bahar melilit tangan
besi semboja di dada
menyeru alam lain
meninggalkan malam
Alam semalam kelam terpendam....


Oleh: Mohd Imran Nul Hakim
7 Ogos 2008 jam 3:27 pagi

Untuk ayahanda Prof Dato' Dr.Hashim Yaacob ilham dari puisi “selamat tinggal malam”.

Baca Selanjutnya...