KEKUATAN JATIDIRI MELALUI PROGRAM : ‘SATU KAWASAN SATU PERGURUAN’

Dalam era globalisasi yang banyak cabaran dan dugaan, peranan golongan pemuda amatlah penting agar menjadi baka Negara yang berguna dan mampu memimpin serta melaksanakan agenda Negara. Justeru itu kekuatan jatidiri wajar dipupuk sejak kecil lagi dengan mempelajari sejarah silam sebagai panduan dan iktibar memperkasakan jatidiri agama, bangsa dan tanahair.

Pada hari ini, banyak isu yang kita sering terdengar dengan melibatkan pemuda atau remaja terjebak dengan lumba haram, kes dadah, rogol, melacur, vandalisme, gangster, lepak, berdisko dan beberapa perkara negatif yang lain. Perkara-perkara tersebut ada hubungkaitnya dengan kelemahan jatidiri yang ada pada diri anak-anak muda kita pada hari ini. Kebiasaanya juga ianya berlaku atas sebab tiada pengisian aktiviti budaya yang serius di peringkat kampung masing-masing yang pernah diamalkan oleh masyarakat kampung terdahulu seperti mengaji, berzanji, maulud, marhaban, nazam bersilat dan sebagainya.

Sungguhpun pada hari ini kita lihat ramai golongan muda berjaya melanjutkan pelajarannya di institut pengajian tinggi, namun tidak semua yang mempunyai kekuatan jatidiri yang betul. Dari aspek ini suka saya menekankan bahawa pemuda kita pada hari ini tidak disibukkan dengan aktiviti budaya Melayu asli yang harus dipelajari dan ditanam dalam diri masing-masing. Apa yang saya ingin tekankan di sini ialah tentang budaya ‘ilmu persilatan’.

Secara silamnya betapa hebatnya Melaka pada ketika dahulu dengan kemegahan ekonomi, politik dan kekuatan rakyatnya yang sukar dikalahkan oleh kuasa-kuasa luar pada ketika dahulu. Antara rahsianya di sini adalah amalan ‘ilmu persilatan’. Ilmu persilatan yang bukan sahaja kita belajar untuk ketahanan badan dan kesihatan sahaja ianya juga memupuk amalan kebatinan dalam diri. Kebatinan yang berlandaskan pegangan agama mampu memperkasakan jatidiri seseorang yang mempelajarinya.
Peranan ‘ilmu persilatan’, sebenarnya mengajar diri kita untuk hidup mencari peluang dan berfikir untuk menempuh cabaran hidup dengan menggunakan kebijaksanaan akal.

Belajar ‘ilmu persilatan’ juga membentuk disiplin diri serta menjamin diri kita selamat di dunia, selamat di akhirat melalui amalan pantang larang yang selari dengan kehendak Islam agar dapat membentuk nilai akhlak yang tinggi dan berbudi pekerti luhur. Faedah yang terpenting dari mempelajari ‘ilmu persilatan’ adalah memupuk semangat perpaduan dikalangan masyarakat kita khususnya anak-anak muda. Ilmu persilatan sebenarnya amat unik kerana melibatkan gabungan seni, sukan, dan pegangan agama.

Ilmu persilatan telah menjadi sinonim dengan amalan kebatinan, manakala kebatinan juga sinonim dengan amalan agama yang betul dan ini menjadi budaya masyarakat Melayu lama. Seharusnya Melaka menjadi negeri mengembangkan ‘ilmu persilatan’dan pemudanya harus disibukkan dengan aktiviti seperti ini dengan cara melaksanakan program ‘satu kawasan satu perguruan’. Kita wajar memandang secara positif dan tidak dapat dinafikan ada beberapa perguruan persilatan yang terpesong dengan akidah Islam dan ini wajib dijauhi.

Pihak kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Kebudayaan Kesenian dan Warisan Melaka dan Jawatankuasa Sukan wajar memberi galakkan dan memantau aktiviti ini dengan rapi bagi mengelakkan perkara yang negatif berlaku. Selain itu kerajaan negeri juga hendaklah mengenalpasti guru-guru yang mengajar itu mempunyai kelayakkan yang cukup untuk disahkan. Pengajaran ‘ilmu persilatan’ini juga hendaklah bersistem bagi menarik minat anak-anak muda untuk mempelajarinya.Guru-guru yang mengajar pula, hendaklah juga berperanan mengawal anak didiknya serta memberi nasihat dan tunjuk ajar yang baik. Perkara ini amatlah penting kerana dikhuatiri anak didiknya menyalahgunakan pelajaran yang diamalkannya.

Di bawah penyelarasan ini, saya yakin pengisian program ‘satu kawasan satu perguruan’ akan memperkasakan jatidiri dan meghindari budaya-budaya yang tidak sihat dikalangan anak-anak muda Melayu kita khususnya di negeri Melaka. Cadangan yang saya bawa juga merupakan cetusan idea dari kata keramat Hang Tuah ‘Takkan Melayu Hilang Di dunia’. Pesanan keramat ini secara logiknya kita memandang dari presepsi diri Hang Tuah sendiri yang membawa kejayaan ke arah kegemilangan Melaka dan kejayaan jatidirinya, hasil kebijaksanaan dari amalan ilmunya.

Mohd Imran Nul Hakim
( Artikel ini pernah diterbitkan dalam Akhbar Melaka Hari Ini)

0 comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda di sini setelah selesai membaca. Terima kasih.