Good Governance

Pengurusan bandar merupakan aspek yang amat penting untuk pembangunan ekonomi, politik dan sosial masyarakat. Perkara tersebut dapat dijalankan melalui peranan kerajaan pusat, negeri dan tempatan. Pada masa yang sama, peranan ini dibentuk hasil daripada kerjasama kerajaan, swasta dan NGO bagi memastikan pembangunan dalam sektor ekonomi, politik dan sosial masyarakat terjamin.

Bandar yang maju tidak hanya fokus ke arah pembangunan ekonomi semata-mata, malah faktor urus tadbir yang baik menjadi penyumbang ke arah kemajuan pembangunan yang lancar dalam sesebuah negera dan menjadi pusat tumpuan sosial masyarakat.

Untuk mewujudkan urus tadbir yang baik beberapa kaedah digunakan iaitu penglibatan semua, Bertanggungjawab, berterus terang, Cekap, kesaksamaan, Efektif & Efisyen, dan sistem yang mengikut peraturan. Sebagai contoh Malaysia telah memperkenalkan rancangan Malaysia ke- 9 yang mengariskan beberapa kaedah bagi mewujudkan urus tadbir yang baik, iaitu pelan intergriti nasional yang menjurus kepada 5 perkara yakni anti rasuah, meningkatkan keupayaan sistem penyampaian maklumat, corporate governance & business ethic, institusi kekeluargaan dan kualiti hidup.

Rancangan Malaysia ke -9 merupakan dasar kerajaan pusat agar dapat berperanan mengubah sistem pengurusan supaya urus tadbir kerajaan akan dapat berjalan dengan baik dan diyakini oleh rakyat.Oleh itu kita dapat melihat bukan sahaja pembangunan ekonomi dititiberatkan tetapi melalui proses urus tadbir yang baik sebenarnya mampu untuk membangunkan sesebuah Bandar dan menjadi tumpuan untuk bersosial.


Ini adalah kerana urus tadbir yang terancang akan memberi impak yang positif dalam perkembangan beberapa sektor untuk pertumbuhan ekonomi seperti perindustrian, telekomunikasi, pusat membeli belah, pendidikan, kesihatan, perniagaan, pusat pentadbiran dan pengangkutan. Ini merupakan kemudahan yang penting dalam membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi bandar dan membantu meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Contoh yang terdekat yang dapat kita lihat adalah bandaraya Kuala Lumpur yang mempunyai kelengkapan dan kepelbagaian sistem kemudahan yang canggih yang diwujudkan oleh pihak kerajaan tempatan bagi memberi tumpuan sosial masyarakat untuk memenuhi kehendak dan keperluan mereka.

Secara tidak langsung apabila peningkatan kemudahan berlaku, maka kita akan dapati bahawa kemasukan atau migrasi penduduk akan bertambah kerana adanya peluang kerjaya bagi mereka dan kemudahan yang selesa dan kualiti, melalui peranan dasar kerajaan pusat yang diuruskan oleh kerajaan negeri dan dilaksanakan oleh kerajaan tempatan.

Jika kita lihat peluang kerjaya adalah salah satu bentuk yang boleh mewujudkan budaya dan gaya hidup masyarakat yang pelbagai. Apabila pembangunan dalam sesebuah bandar yang dilaksanakan oleh kerajaan tempatan dengan pemaju projek, maka akan berlakunya asimilasi budaya . Pendapatan penduduk akan meningkat dan ini dapat mengubah gaya hidup mereka. Secara tidak langsung ianya dapat membantu dalam perkembangan ekonomi sesebuah bandar.

Darisegi aspek kesihatan, peranan pihak kerajaan pusat bagi menjamin kehidupan sepanjang hayat melalui RMK-9 telah akan dijalankan dengan lebih proaktif hasil dari kerjasama pihak swasta dan NGO. Kerajaan telah memastikan perundangan kesihatan dan peralatan kemudahan perubatan seperti saringan diagnosis awal bagi menentukan penyakit.

Pertambahan Vaksin pencegahan bagi penyakit seperti influenza B, campak dan Rubella.Rancangan ini juga menyediakan peruntukkan untuk menambah hospital baru dan mengubahsuai serta menaik taraf hospital yang sedia ada. Peranan ini ditonjolkan agar dapat memberi manfaat kepada sesebuah bandar kea rah pertumbuhan ekonomi yang lebih mantap atas usaha urus tadbir kesihatan yang baik bagi melahirkan masyarakat yang mempunyai taraf hidup yang berkualiti dan mampu menyumbang memesatkan lagi pertumbuhan ekonomi bandar.

Pembangunan kesihatan yang baik akan membentuk kemasukkan dan tumpuan sosial masyarakat terhadap bandar yang mempunyai tahap kemampuan kemudahan kesihatan yang menyeluruh. Di Bandar Melaka terdapat Hospital Mahkota Medical Centre yang menjadi tumpuan warga Indonesia, Singapura dan tempatan menggunakan perkhidmatan tersebut. Pertumbuhan ekonomi negeri Melaka juga berdasarkan peranan pembangunan kesihatan dan urus tadbir yang baik.

Pembangunan pendidikan dalam sesebuah Bandar juga mempengaruhi faktor urus tadbir yang baik dan menjadi tempat tumpuan sosial. Ini dapat dilihat sekitar Bandar di Kuala Lumpur yang mempunyai 100 buah pusat pendidikan tinggi awam dan swasta. Peranan dasar kementerian pengajian Tinggi Malaysia yang ingin menaiktaraf universiti ke arah Universiti Perdana dan Antarbangsa dengan membawa masuk pelajar-pelajar asing dari Negara-negara luar seperti Yemen, Nageria, Pakistan, Iran, Iraq, China, Laos dan Jepun. Universiti Malaya yang terletak di pusat Bandar Kuala Lumpur telah menerima banyak warga asing ke arah meningkatkan lagi mutu pendidikan di peringkat antarabangsa. Melalui ini juga maka Kuala Lumpur akan menjadi tempat tumpuan sosial pelbagai masyarakat dan meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi kerana pelajar-pelajar yang melanjutkan pelajaran mereka ke sini merupakan pelabur.

Peranan pihak penguasa tempatan seperti DBKL melalui pertumbuhan ekonomi yang baik melalui “Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020, telah mengenalpasti bahawa pusat membeli belah mempunyai potensi yang baik ke arah pertumbuhan ekonomi dan sosial masyarakat memandangkan taraf hidup masyarakat yang semakin meningkat. DBKL telah memberi beberapa pembahagian kawasan membeli belah iaitu pusat membeli belah persint utama seperti KLCC,Berjaya Times Square, Pavilion, Mid Valley, Garden City dan Sungai Wang. Kawasan sub utama seperti Jalan Tunku Abdul Rahman, Chow Khit, Petaling Jaya dan Jalan Pasar. Pertumbuhan ini akan menjadi pusat pertumbuhan sosial tempatan dan antarabangsa yang berbentuk rekreasi dan hiburan serta peluang kerja yang luas.

Urus tadbir perbandaran yang baik, melalui peranan semua pihak seperti kerajaan, swasta dan NGO amatlah diperlukan bagi menggalakkan lagi pertumbuhan ekonomi dan sosial masyarakat agar sesebuah Bandar dapat membangun dengan pesat dari segi infrastruktur, pendidikan, kesihatan,dan pelancongan.

Good Governance & OKU

Darisegi sistem kemudahan pengangkutan awam sebenarnya dapat menjamin kelancaran aktiviti dalam sesebuah negara. Kenderaan awam juga merupakan nadi kepada pembangunan sesebuah negara itu. Sekiranya kita melihat negara-negara maju seperti Jepun dan Amerika Syarikat, kita dapat melihat betapa maju serta efisennya sistem pengangkutan awam mereka. Lihatlah juga betapa maju sistem pengangkutan awam kita pada hari ini berbanding sepuluh tahun yang lalu.

Kini di Malaysia terdapat Sistem Pengangkutan Ringan (LRT) serta Monorail yang banyak membantu dalam perkhidmatan pengangkutan awam kita hari ini. Namun bergitu, apalah ertinya semua kemajuan ini sekiranya tidak dapat dikongsi bersama dengan golongan yang tidak dapat menikmatinya.

Golongan yang dimaksudkan tidak lain tidak bukan ialah golongan orang kurang upaya (OKU). Mengikut Akta Orang Kurang Upaya 2007, “Orang Kurang Upaya” (OKU) bermaksud “ Mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat ”. Mengikut statistik yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat jumlah orang kurang upaya yang berdaftar telah meningkat sebanyak 12 peratus pada tahun 2007 (220,250 orang) berbanding 2006 (197,519 orang) .

Kumpulan OKU yang berkerusi roda merupakan kumpulan yang patut diutamakan dalam kemudahan pengangkutan awam. Mereka memerlukan satu mekanisma supaya dapat bergerak serta berhubung dengan dunia luar serta masyarakat umum. Bayangkan sekiranya mereka tidak mempunyai ahli keluarga yang sudi membawa mereka keluar, bolehkah mereka bergerak atau menikmati dunia ini. Bolehkah mereka menaiki LRT atau komuter kita yang serba canggih?

Bas kita yang berhawa dingin dengan kerusi selesa yang sedang gah berlegar di kota serta teksi samada yang biasa mahupun yang mewah? Sekiranya mereka menggunakan kemudahan pengangkutan awam, besar kemungkinan mereka tercedera dan mungkin dapat merbahayakan nyawa mereka ataupun mungkin juga mereka tidak dapat menggunakannya langsung disebabkan halangan daripada penggunaan kerusi roda.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa terdapat usaha daripada syarikat-syarikat yang menyediakan kemudahan pengangkutan awam bagi memastikan perkhidmatan mereka mesra OKU. Terdapat bas yang meletakkan tanda kerusi roda untuk menunjukkan bas mereka mesra OKU. Namun begitu pada hari ini kita dapat lihat yang ianya belum sempurna, tanda kerusi roda itu hanya sekadar hiasan.

Walau bagaimanapun, usaha dan niat murni syarikat-syarikat bas tersebut sepatutnya dicontohi, tetapi keberkesanannya perlulah dikaji semula. Adakah ianya disebabkan masyarakat kita atau pengusaha itu sendiri?

Walau bagaimanapun, usaha harus dilakukan langkah demi langkah. jika dilihat antara perkhidmatan kenderaan awam di negara kita dengan negara seperti Amerika Syarikat, masih terlalu banyak usaha yang harus ditingkatkan.

Jabatan Kebajikan Masyarakat sentiasa menggalakkan syarikat-syarikat pengangkutan supaya memberi tambang konsesi kepada orang kurang upaya. Sehingga kini terdapat beberapa buah syarikat pengangkutan telah memberi insentif pengangkutan kepada golongan kurang upaya.

Antaranya adalah Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) memberi tambang murah sehingga 50% bagi penerbangan dalam negeri, Keretapi Tanah Melayu (KTM) memberi tambang konsesi sehingga 50% bagi semua perjalanan bagi semua kelas, Syarikat bas Transnasional memberi konsesi 50% dari harga tambang dan Rapid KL memberi kemudahan tambang percuma kepada golongan kurang upaya.


Mengikut kajian yang telah dijalankan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, kenderaan awam yang amat diperlukan oleh OKU ialah kenderaan awam yang dapat menghantar mereka dari tempat asal ke destinasi sebagai contoh perkhidmatan teksi ini dapat membantu mereka bersosial serta bekerja. Pada tahun 2002 terdapat sebanyak 72,361buah teksi di Malaysia.

Malangnya kebanyakan teksi di negara kita bukanlah yang jenis mesra OKU. Kadang kala mereka tidak mahu mengambil penumpang OKU kerana pada mereka ianya menyusahkan namun bergitu terdapat juga segelintir pemandu teksi yang amat bermurah hati mengambil pelanggan yang berkerusi roda. Kadang kala kerana jenis teksi mereka gunakan sebagai contoh Proton Iswara menyebabkan mereka tidak mahu penumpang yang berkerusi roda kerana kapasiti bonet.

Jika di lihat sekarang pelbagai jenis serta bentuk teksi dapat kita lihat di jalan-jalan raya. Kereta-kereta mewah juga dijadikan teksi oleh sesetengah syarikat dengan mengenakan tambang yang tidak begitu tinggi berbanding teksi biasa, dengan alasan untuk kelesaan penumpang.

Malang sekali jika dibandingkan dengan jumlah wang yang dilaburkan untuk membeli kereta mewah sebagai teksi eksekutif adalah lebih wajar jika duit tersebut digunakan untuk membeli atau mengubahsuai teksi biasa kepada yang boleh dimasuki kerusi roda (wheelchair accessible taxi) seperti yang terdapat di negara United Kingdom dan Amerika . Keperihatinan dari pihak pengusaha syarikat teksi ini dapat membantu golongan OKU yang menggunakan kerusi roda.

Di samping itu terdapat sesetengah pemandu teksi yang merasakan golongan OKU ini adalah menyusahkan. Perkara ini mungkin berlaku kerana kurangnya sikap keperihatinan oleh pengusaha pengangkutan awam itu sendiri. Ini banyak bergantung kepada sikap pemandu itu yang merasakan penumpang yang berkerusi roda amat merumitkan sebagai contoh OKU yang berkerusi roda memang memerlukan orang lain untuk membantu mereka memasukkan kerusi roda ke bonet kereta selepas mereka memasuki kereta.

Namun begitu sesetengah, pemandu teksi merasakan golongan OKU tersebut hanya mendatangkan masalah kepada mereka. Ada juga merasakan penumpang kerusi roda menyusahkan dan melambatkan. Kebanyakan pemandu teksi mengejar masa. Bagi mereka lebih banyak masa yang mereka ada, lebih banyaklah penumpang yang dapat mereka ambil. Di Lembah Kelang khususnya, majoriti teksi menggunakan gas NGV sebagai bahan bakar kerana lebih murah berbanding petrol. Tangki atau balang gas tersebut dipasang di dalam bonet kereta, memandangkan saiz tangki tersebut agak besar maka tiada lagi ruang untuk memasukkan kerusi roda.

Dalam usaha untuk membantu golongan OKU ini, pihak pengusaha pengangkutan awam dan kerajaan hendaklah bersama-sama dalam usaha membantu golongan yang kurang bernasib baik ini. Disamping itu ia juga dapat menjadikan negara kita sebuah negara perihatin dan penyayang. Sehubungan itu, pihak pengusaha juga perlulah melihat bahawa perkhidmatan pengangkutan awam sebagai satu tanggungjawab sosial, bukan hanya menitikberatkan keuntungan semata-mata.

Sebagai ahli masyarakat pula kita perlulah memahami keperluan OKU. Adalah tidak wajar bagi kita memencilkan serta mengasingkan mereka kerana kekurangan yang ada pada mereka. Ada juga segelintir ahli masyarakat yang kurang bertanggungjawab dan terlalu mementingkan diri sendiri dengan menggunakan kemudahan yang disediakan untuk OKU sebagai contoh tempat letak kereta, tandas dan tempat duduk.

Sebagai contoh CEO syarikat AirAsia, iaitu Dato’Tony Fernandes, beliau meningkatkan perkhidmatan penerbangannya selepas mendapat bantahan daripada persatuan-persatuan OKU disebabkan perkhidmatan AirAsia yang tidak mesra OKU. Dalam masa yang amat singkat beliau meningkatkan perkhidmatan AirAsia kepada mesra OKU walaupun menelan belanja yang amat besar.

Sikap begini sepatutnya dijadikan contoh oleh kita semua. Ini menunjukan yang pandangan OKU diambil berat dan dihormati walaupun terdapat kekurangan pada diri mereka. Jadilah ahli masyarakat yang bertanggungjawab bantulah mereka yang kurang upaya. Bersamalah kita membangun masyarakat ke arah kesejahteraan sosial.


Sumber Rujukan

1. Tim Bunnell, Malaysia, Modernity and The Multimedia Supper Corridor: A Critical Geography Of Intelligent Landscape, Routledge Curzon Taylor & Francis Group,New York, 2006.
2. Kenneth G.Willis, R.Kerry Turner & Ian J. Bateman, Urban Planning and Management, Edward Publishing, Inc.UK, 2001.
3. Dani Salleh & Abdul Rahman Aziz, Asas Kefahaman Pengurusan Pembangunan, Universiti Utara Malaysia Sintok, 2003.
4. John Diamond, Joyce Liddle, Alan Southern and Alan Townsend, Managing The City, Routledge Curzon Taylor & Francis Group, New York, 2007.
5. Prof.Dato Dr. Abdu Rahman Embong. (2007).Is The Ideal Of Good Governance Achievable?. Kuala Lumpur. Universiti Malaya.
6. Laman Web: http://www.Jabatan Kebajikan Masyarakat.Com. 27 September 2008.
7. Laman Web: http://www.Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia. 27 September 2008.
8. Laman Web : http://www.Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.1 Oktober 2008.

Oleh : Mohd Imran Nul Hakim Derasip & Adzni Ahmad Fekry

1 comments:

miss regina said...

tahniah kepada penulis blog in..sedikit sebanyak dapat menjana minda dan idea yang bernas didalam membangunkan sesebuah bandar sekali gus dapat diaplikasikan menjadi bandar contoh

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda di sini setelah selesai membaca. Terima kasih.