Sesebuah negara bangsa itu dibina hasil daripada bahasa sesebuah bangsa itu sendiri. Cendiakawan Yahudi pernah menulis berkaitan dengan perpaduan bangsanya yang tidak terbina dan antara sebabnya adalah bangsa Yahudi tidak menggunakan bahasa ibundanya.Mereka sedang mencuba untuk menyatukan kembali bangsa mereka dengan cara memartabatkan bahasa mereka.
Kerajaan Melaka yang memulakan ketuanan Melayu telah memartabatkan bahasa Melayu kepada perdagang sehingga bahasa Melayu digelar sebagai lingua franca. Lihatlah betapa kerajaan Melaka yang kecil dapat mewujudkan satu hubungan diplomatik yang sangat baik dengan negeri-negeri lain seperti China, Arab, Pasai, Jawa dan banyak lagi dengan memartabatkan bahasa Melayu.
Sungguhpun pada ketika itu Melaka telah diIslamisasikan dengan pengaruh tulisan jawi tetapi, Melaka tidak meninggalkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan perdagangan malah ianya adalah bahasa ilmu.
Pada hari ini, bahasa Melayu masih digunakan secara meluas di Malaysia. Kita tidak menolak kepentingan bahasa Inggeris ianya amat penting. Kerajaan wajar mengimbangi isu bahasa ini. Bahasa Melayu hendaklah dimartabatkan disamping itu bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.
Dalam keadaan kita mengejar keghairahan globalisasi dan kecanggihan teknologi ilmu, kita tidak boleh melupakan bahasa kita yang menjadi simbol kepada bangsa kita.
Sebenarnya kerajaan wajar memartabatkan bahasa Melayu dengan memberikan keutamaan sebagai “jenama” yang dipopularkan dan barulah bahasa yang lain boleh muncul. Sebagai contoh pihak kerajaan harus ubah kepada bahasa Melayu nama-nama tempat atau jalan yang pada hari ini banyak menggunakan bahasa Inggeris. Kerajaan juga dan pihak-pihak tertentu perlu ada dorongan yang kuat dalam memperbanyakan lagi buku-buku, artikel, kertas kerja persidangan luar Negara ke dalam bahasa Melayu.
Saya melihat bahawa kekuatan bahasa Melayu perlu dibina kembali tetapi mungkin ianya tidaklah sekuat seperti zaman Melaka pada ketika dahulu. Tetapi sekurang-kurangnya ada usaha. Masyarakat Malaysia wajar memandang isu bahasa Melayu ini ke arah yang lebih positif. Mentaliti harus diubah dalam pemikiran kita pada era sekarang yang memerlukan “multi thinking” ke arah masyarakat yang serba boleh. Janganlah kita hanya memandang dan memuji Negara maju seperti Jepun, Jerman, Perancis dan China yang tidak mementingkan bahasa Melayu. Mereka bangunkan Negara mereka atas kesedaran dan usaha mereka tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Apakah kita seperti mereka?. Sejarah kita amat berbeza dengan mereka. Kita kena terima hakikat ini. Mentaliti kita telah banyak dipengaruhi dengan dasar penjajah dan akibat daripada sistem ekonomi terbuka yang dikuasai oleh penjajah.
Kita juga harus sedar bahawa banyak bahan rujukan ilmu telah dibina dan diterjemahkan dalam bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris juga antara bahasa yang utama dalam dunia globalisasi. Sekirannya kita tidak menguasainya maka kita kurang upaya untuk bersaing dengan orang lain.
Saya memahami, ada beberapa pihak yang amat sedar akan isu ini dan meminta agar bahasa Melayu lebih diberi keutamaan. Perkara tersebut saya sokong. Tetapi pihak tersebut harus meletakkan syarat kepada perkara-perkara tertentu yang mana keperluan penggunaan dan cara penggunaan bahasa Inggeris wajar diletakkan atau diguna pakai mengikut syarat yang harus dirancang dan dicadangkan kepada kerajaan.
Begitu juga dengan bahasa Melayu yang wajib “dijenamakan” semula mengikut keperluan penggunaan dan kepentingannya. Pihak tersebut juga harus membantu memperbanyakan terjemahan dalam pelbagai lapangan ilmu dan memberi nasihat yang baik kepada kerajaan ke arah memartabatkan isu bahasa Melayu ini. Sekirannya tiada usaha seperti ini, maka jalan terakhir adalah penggunaan bahasa Inggeris wajar diguna pakai kerana ianya adalah bahasa ilmu dan status pada hari ini tetapi jangan terlalu ghairah.
Janganlah akibat dari keghairahan kita dalam menegakkan bahasa orang lain, anak cucu kita nanti akan mengatakan bahawa bahasa Inggeris lah yang menyatupadukan mereka sedangkan mereka adalah anak bangsa kita yang tidak teruja dengan bahasa ibunda mereka.Maka akan hancurlah jatididri dan budaya bangsa Malaysia.
Mohd Imran Nul Hakim
BAHASA INGGERIS : JANGAN TERLALU GHAIRAH
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment
Tinggalkan komentar anda di sini setelah selesai membaca. Terima kasih.