Jangan Malas Untuk Berfikir

Sekirannya anda diminta untuk melakukan sesuatu yang agak sukar untuk dibuat, apakah reaksi anda?. Adakah anda menolaknya atau menerimannya sebagai cabaran?. Tingkah laku sebagai seorang manusia, kebiasaannya akan mengambil jalan mudah untuk melaksanakan apa-apa perkara. Sememangnya zaman yang moden ini kita mahukan mudah, pantas dan berhasil.

Manusia tidak boleh lari daripada kesusahan yang sentiasa ada dalam hidup. Kesusahan adalah cabaran bagi manusia. Cabaran inilah yang menguji sejauhmana tahap kemampuan kita untuk hidup. Tetapi bagaimana perkara-perkara yang agak sukar untuk dilakukan apatah lagi diluar tanggungjawab kita, ianya terpaksa kita lakukan?.

Apabila kita berhadapan dengan situasi sebegini, maka tahap pemikiran kita akan menjadi lemah. Fungsi tubuh badan kita juga turut menjadi lemah. Ini adalah kerana mindset kita yang menetapkan bahawa sesuatu perkara yang sukar dilakukan itu, tidak boleh kita lakukan. Maka dalam konteks ini seluruh sistem tubuh badan kita akan mengikuti sistem fikiran kita.

Punca utama kita bersikap sebegitu adalah kerana sikap malas untuk berfikir dan tiada focus dalam pemikiran. Banyak berfikir beerti kita berusaha untuk mencari jalan penyelesaian. Dengan menggunakan akal fikiran kita dapat membuat pertimbangan yang baik sehingga dapat menghasilkan keputusan yang bernilai.

Jangan hanya, kita mahu berfikir tentang perkara-perkara yang telah ada dihadapan mata kita, tanpa kita memikirkan perkara tersebut di luar jangkaan pemikiran kita. Cara berfikir akan membuatkan kita mengawal emosi. Melalui pengawalan emosi ini akan membuatkan kita mampu untuk bertindak dalam sesuatu perkara. Letakkan kepercayaan dalam pemikiran anda.

Sentiasa berfikiran positif akan membuatkan kita lebih sihat berbanding dengan orang sentiasa berfikiran negatif apatah lagi malas untuk berfikir. Orang yang berani gagal ialah orang yang rajin untuk berfikir. Ubat pelincir otak adalah berfikir. Oksigen akan sentiasa terhasil apabila kita berfikir.

Mencuba sesuatu adalah salahsatu aspek kita berfikir. Bentuk pemikiran seperti kovergen, divergen, reflektif dan kreatif mampu membantu kita untuk berfikir dalam sesuatu hal untuk membuat keputusan.
Saya mengambil pengalaman saya ketika menghadiri kursus outdoor di Sabah anjuran Universiti Malaysia Sabah. Satu aktiviti yang mengujakan adalah high-rope. Saya mencuba kemahiran berfikir saya untuk meneruskan halangan di ketinggian sama dengan 3 tingkat yang mencabar . Ternyata ianya berhasil apabila saya berfikir positif dan berfikir untuk mencari penyelesaian untuk melakukannya, sungguhpun daya upaya tubuh badan saya lemah untuk menghabiskan halangan tersebut.

Minda fikiran kita membuatkan kita mampu untuk melakukan sesuatu. Ini dapat dibuktikan ketika saya menghadiri ceramah yang saya lupa nama penceramah tersebut. Beliau menyatakan bahawa kekuatan kuasa minda mampu melemahkan musuh.

Beliau membuktikan apabila menguji seorang peserta dan memintanya untuk menyebut perkataan “saya lemah”sebanyak mungkin sambil meluruskan sebelah tangannya ke arah penceramah itu. Lalu dengan mudahnya penceramah tersebut menekan pergelangan tangan peserta, tanpa ada tenaga yang mampu melawan kembali. Beliau meminta pula peserta tersebut mengujinya, kali ini berlainan pula. Beliau menyebut “aku kuat” sebanyak mungkin dan apabila peserta tersebut menekan pergelangan tangannya, ternyata ianya tidak berhasil kerana ada kekuatan untuk melawan semula.

Inilah kesannya apabila kita berfikir dengan kaedah yang betul tanpa merasakan sesuatu perkara yang mustahil itu tidak boleh kita lakukan. Slogan “Malaysia boleh”, sebenarnya telah membuktikan bahawa mindset sebeginilah yang membawa kita ke arah kemajuan yang lebih pesat yang kita nikmati sekarang. Inilah antara hasil daripada tokoh yang rajin berfikir iaitu Tun Dr. Mahathir.


Oleh : Mohd Imran Nul Hakim

0 comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda di sini setelah selesai membaca. Terima kasih.