“Ikut hati mati, ikut rasa binasa” perumpaan ini sering kita
dengar namun tak semua yang boleh
memahami dengan tepat. Kalau mahu diungkapkan perumpaan tersebut secara
ringkasnya ia berbunyi seseorang yang gemar mengikut kehendak hati atau rasa
hati tanpa mengikut kehendak akal pasti akan menghantar dirinya ke dalam
belenggu masalah yang bisa hadir dalam pelbagai keadaan.
Penciptaan akal yang berfikir ini merupakan garis pemisah
antara manusia dengan binatang dan antara manusia dengan makhluk yang tidak
diberikan akal. Meletakkan akal pada tahap yang tertinggi bisa saja membuat
seseorang itu mempunyai martabat/ makam yang tinggi. Akal yang akan membawa
manusia dalam pelbagai emosi yang dipilih umpamanya gembira, suka, malu, sedih,
pilu, pendiam, marah, benci dsb. Maka terbentuklah hati-hati yang pelbagai
macam hasil daripada akal yang berfikir. Jika akal yang berfikir dihalakan
kepada tujuan yang betul maka hati ini bisa sampai tujuannya iaitu kepuasaan
diri, jika tidak maka akan berlaku sebaliknya.
Dalam banyak hal, seseorang mungkin telah tertipu dengan
pujuk rayu atau rasa hati, seolah-olah hati itu yang menjadi akal fikirannya
tanpa menggunakan akal untuk berfikir
sejenak atau berfikir panjang dalam membuat sesuatu keputusan. Seseorang
daripada kita amat jarang menggunakan akal fikiran bagi mempertimbangkan
sesuatu perkara yang boleh mempengaruhi setiap keputusan dalam kehidupan.
Seseorang yang biasa mendidik akalnya untuk banyak berfikir pasti bijak membuat pertimbangan baik
dan buruk dalam sesuatu keputusan yang bakal ditempuh. Sebab dan akibat pasti
telah menjadi mainan dirinya. Maka orang seperti ini sememangnya telah bersedia
dalam apa pun keadaan yang patut diterima. Buya Hamka pernah menulis “Orang yang berakal tidak berduka cita apabila
ada cita-citanya di dunia yang tidak sampai atau nikmat yang meninggalkanya”.
Orang yang berakal pasti tidak pernah
kenal makna putus asa sekalipun dia mencuba berkali-kali. Sekiranya gagal juga
maka segalanya diserahkan kepada tuhan sang pencipta dan dia tidak kesal walau
sedikit pun.
Lantas, bagaimana akal yang
berfikir ini harus dididik?. Bagi manusia yang berakal cara yang terbaik untuk
mendidik akal sendiri adalah dengan membuat perenungan terhadap berita-berita
yang indah dan berita-berita yang menakutkan melalui kitab suci Al-Quran yang
dikatakan sebagai kitab renungan semesta alam bagi orang-orang yang berakal.
Banyak kesempatan Allah membangkitkan peristiwa-peristiwa dan juga
imbuhan-imbuhan kepada manusia agar manusia dapat merenung dan menggunakan
akalnya supaya manusia itu menjadi sempurna untuk menjalani hakikat kehidupan
yang sebenar dengan mengikut petunjuk yang ditunjuki oleh Allah, Rasul dan
Ahlul Bait. Saidina Husin pernah berkata “Akal manusia tidak akan sempurna, kecuali dengan mengikuti
hak dan hakikat.”
Orang-orang yang berilmu pasti gemar memikir. Justeru, dengan
mempelajari ilmu yang bermanfaat bisa saja memberi sesuatu yang baru terhadap
akal. Ini juga salah satu proses mendidik akal untuk sentiasa berfikir. Ada
juga yang mencari jalan menjelajah ke tempat-tempat yang baru dan indah untuk
mengaktifkan akal. Ada juga yang menimba pengalaman hidup yang dilalui untuk
meningkatkan kualiti akalnya agar lebih berfikir panjang.
Hakikatnya, akal yang baik, akan melahirkan hati yang suci dan
tenang dalam setiap perilaku seseorang. Kadangkala terdapat kontradiksi antara
akal yang baik dengan perilaku negatif yang luar daripada kawalan akal, ini
dinamakan nafsu. Seseorang itu sentiasa dihukum atas perilaku negatifnya. Walau
bagaimanapun, seseorang tidak mudah menghukum seseorang yang lain dengan
melihat dengan perilaku negatif sahaja kerana
barangkali perilaku negatif yang datang sekali-sekala ini bisa dikawal dengan
akal yang waras menjadikan sesorang itu berubah dengan begitu baik. Barangkali
juga perubahan itu dipengaruhi oleh hati yang asalnya suci tadi.
Dari sudut yang lain, terdapat visualisasi yang merangsang
akal yang luhur dan bisa mempengaruhi hati. Sebagai contoh tindakan reflect dari hati apabila melihat dan
merasa simpati dengan kanak-kanak yang tidak berdosa mati dibom. Tindakan secara
visualisasi ini yang merangsang akal untuk memikirkan kesedihan yang tertimpa
ke atas kanak-kanak sehingga hati menjadi sayu dan pasti meluruhkan air mata.
“Hati dan Akal” kedua-duanya bisa saja mati. Mati dalam
keadaan yang sangat hitam dan gelap disebabkan sengaja mematikan akal kerana
dipengaruhi oleh kuasa, kepuasan nafsu, harta benda, pangkat dan sebagainya.
Ditambahkan lagi mereka menjauhkan diri mereka dengan tuhan dan tidak mahu
mengikut jalan-jalan yang telah ditunjukkan oleh rasul dan Ahlul Bait. Mereka
mencintai dunia yang seolah-olah tidak akan berlaku kiamat.
Namun di sini, kita tidaklah menolak secara total kata hati,
cuma kita tekankan dalam konteks akal didahulukan berbanding hati. Jadikanlah
akal sebagai teman nasihat yang rapat
dengan kita manakala hati sebagai pengikut yang setia dengan akal.
Mohd Imran Nul Hakim
Petaling Jaya Selangor
0 comments:
Post a Comment
Tinggalkan komentar anda di sini setelah selesai membaca. Terima kasih.